Sunday, January 3, 2010

Ibuku sayang...

Setiap ibu pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Anak yang dikandungkan 9 bulan 10 hari di dalam rahimnya, pastinya ibu tersebut mahu anak itu gembira dan bahagia dalam hidupnya...

Fatimah binti Othman, ibu yang terbaik di dunia...seorang ibu yang terlalu menginginkan anaknya ini untuk terus berjaya dan bahagia di dalam hidup ini. Apa sahaja sanggup dilakukan bagi memastikan anaknya ini mengecapi perkara yang terbaik di dunia ini. Dari kecil hingga besar, apa sahaja yang diminta oleh anak ini pasti akan dipenuhi dengan sedaya upaya.


Seorang ibu yang dipanggil "MAK" ini juga terlalu istimewa dipandangan mata anaknya. Terlalu istimewa sehinggakan anak ini sanggup mengenepikan segala kemahuan dan kehendak diri sendiri semata-mata untuk memenuhi setiap permintaan ibu tersebut. Anak ini tidak pernah menyesal malah berasa gembira, seronok dan bersyukur apabila dapat menggembirakan hati ibunya.

Tetapi, ada satu perkara yang berlaku di mana anak ini tidak dapat memenuhi permintaan ibunya buat masa ini. Bukan anaknya tidak mahu mendengar kata-kata ibunya. Bukan anak ini tidak mahu memenuhi permintaan ibunya. Tetapi anak ini hanya minta diberi peluang kali ini sahaja untuk mementingkan diri sendiri dan seterusnya membuat keputusan untuk masa depan dan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, perasaan bersalah tetap menyelubungi perasaan anak ini. Terasa seperti anak yang tidak mampu untuk membahagiakan ibunya. Terasa seperti anak ini telah melukakan hati ibunya apabila hajat dan niat ibunya tidak dapat dipenuhi. Bukan niat di hati si anak untuk tidak mendengar kata-kata ibunya, tetapi bagaikan sesatu di dalam hati dan jiwanya yang meronta-ronta meminta agar kepentingan diri diutamakan dahulu dalam hal-hal seperti ini. Hal ini terlalu besar, perkara ini terlalu penting dalam hidup si anak ini, itulah yang memaksa anak ini untuk membuat keputusan secara berhati-hati agar setiap tindakan dan keputusan yang dibuat akan dapat membahagiakan dirinya dan ibunya ini.

Hanya satu yang si anak ini minta daripada ibunya, moga ibunya mampu bersabar dan bersetuju dengan segala keputusan yang dilakukan oleh anak ini kerana si anak ini yakin itu adalah yang terbaik selepas petunjuk daripada Allah yang Maha Esa diperolehi.

Jodoh, pertemuan, ajal, maut semuanya terletak di tangan Tuhan. Allah lebih mengetahuinya dan setiap hari si anak ini berdoa moga umur ibunya dipanjangkan dan diberi kesihatan yang baik agar di suatu hari nanti si ibu akan dapat sama-sama merasai kebahagian yang akan dikecapi oleh si anak ini. InsyaAllah, hanya kepadaNya si anak ini memohon dan meminta. Moga-moga segala yang diimpikan dan yang dihajati akan termakbul.

Amin.

No comments:

Post a Comment