Sunday, August 22, 2010

NO ENTRY

Sudah lama rasanya tak menulis di blog...terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup ini sehinggakan aku tidak punya masa untuk diri sendiri. Tapi tak mengapa, lebih banyak masa kita luangkan untuk org lain...moga2 org lain juga akan punya banyak masa utk diluangkan dengan aku nanti...

2010...pada awalnya terlalu banyak perancangan yang aku aturkan di awal tahun, terlalu banyak impian yang ingin aku capai sepanjang tahun ini, terlalu banyak yang ingin dikecapi pada tahun ini. Walau bagaimanapun, benarlah kata orang Kita Hanya Merancang, Tuhan Yang Akan Menentukan. Terlalu banyak perkara diluar dugaan, perkara yang langsung tidak terlintas di fikiran ku, perkara yang aku sendiri masih belum bersedia lagi telah berlaku pada tahun ini.

Sungguh hebat ujian daripadaMu Ya Alla pada aku. Tetapi sesungguhnya aku yakin, ujian dan dugaan yang Kau turunkan menunjukkan tanda kasihMu pada aku, mengingatkan aku yang sering lalai dan alpa terhadapMu dan untuk mengejutkan aku dari perbaringan yang selesa. Ujian dan dugaan yang berlaku juga telah banyak mematangkan aku, menjadikan aku seorang yang lebih penyabar (mudah2an) dan menyebabkan aku menjadi lebih bersedia pada hari2 mendatang untuk menerima apa jua qada' dan qadar Mu.

Walau bagaimanapun, aku masih bersyukur kerana dengan ujian dan dugaan itulah aku menjadi lebih ingat padaMu Ya Allah. Dengan ujian dan dugaan itulah aku mempunyai lebih kekuatan untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.

Ayah telah pergi selama-lamanya mengadap Ilahi pada 26 July 2010 (bersamaan 15 Syaaban 1431 H). Satu kehilangan besar dalam hidup aku. Pemergian insan yang paling aku sayang di dunia ini untuk menunaikan janji Tuhan Yang Maha Esa (setiap yang hidup pasti akan menemui mati). Pemergian ayah telah menyebabkan aku hilang arah tujuan pada awalnya. Kehilangan ayah menyebabkan aku merasakan diri ini keseorangan. Aku yang merupakan anak kesayangan ayah pastinya merupakan anak yang paling rapat dengan ayah dan pemergiaannya menjadikan kehidupan aku agak huru hara pada awalnya.

Apa yang lebih menyedihkan, aku tidak berada di sisi ayah pada saat2 ayah menghembuskan nafas yang terkahir, Panggilan telefon yang aku terima daripada adik pada jam 2.50pm yang menyuruh aku balik dengan segera rupa2nya satu panggilan yang diterima apabila ayah telahpun mengadap Ilahi. Tetapi adik tidak memberitahu apa2 padaku, hanya pesanan Balik sekarang!. Sampai dirumah, aku tengok ramai pakcik2 dan makcik2 jiran berada dihadapan rumah. Aku mengesyaki sesuatu tetapi aku positifkan hati dan terus melangkah masuk. Setibanya dimuka pintu, ku lihat satu tubuh terbujur kaku di atas katil dengan muka bertutup... Ya Allah!!! aku tersandar sebentar dimuka pintu. Pakcik2 yang ada disitu menyuruh aku bersabar dan akhirnya mak menyuruh aku masuk. Barulah aku masuk dan memeluk mak sekuatnya.

Aku langsung tidak menyangka ayah akan pergi secepat ini. Aku langsung tidak menduga pertanyaan ayah di waktu selepas aku bersalam dan menciumnya untuk pergi ke kerja merupakan sapaan terkahir ayah padaku. Ayah bertanya kemana aku hendak pergi pada pagi itu selepas aku bersalaman dengannya. Aku menyatakan, "hari nikan hari isnin, acek nak g kje la" Ayah hanya mengangguk dan senyum. Kalaulah kutahu ayah akan pergi pada hari itu, pastinya aku tidak akan pergi bekerja. Tetapi benarlah, Allah mempunyai peracangan sendiri untuk hambaNya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah Maha Adil dalam menentukan qada' dan qadar hambaNya.

Hebat sungguh ujianMu Ya Allah. Tinggi sungguh dugaan yang Kau beri padaku. Cuma kekuatan dan kesabaran yang aku pinta daripadaMu Ya Allah. Semoga aku menjadi insan yang lebih tabah, sabar dan kuat untuk menghadapi apa jua ujian dan dugaanMu nanti. Semoga aku memiliki kekuatan untuk menghadapi hari2 mendatang tanpa kehadiran orang yang aku sayangi di sisi ini. Semoga aku mempunyai lebih kekuatan untuk memberikan sedikit kekuatan itu pada mak yang aku pasti lebih merasakan kehilangan ayah. Dan semoga aku menjadi lebih yakin padaMu Ya Allah dan sentiasa mengharapkan pertolongan daripadaMu setiap masa.

Sesungguhnya aku redha dengan apa yang telah ditetapkan untuk aku. Aku terima ketentuan takdir yang telah disediakan untuk aku. Aku pasrah dalam apa jua yang telah Engkau tetapkan untukku.

Semoga aku sentiasa menjadi insan yang bersyukur dan berterima kasih kepadaMu Ya Allah walau sebesar mana ujian yang akan Kau berikan padaku.