Wednesday, January 4, 2012

janji Allah itu pasti

Post pertama tahun 2012 ini bertujuan untuk mengingatkan diri aku sendiri. Janji Allah itu pasti, apakah janji Allah tersebut? KEMATIAN...



Aku memilih untuk menulis mengenai kematian selepas aku pulang dari menziarahi balu kepada arwah pakcik Labis (penjual ikan di kawasan rumah aku). Arwah baru berumur 51 tahun dan apa yang menyentuh perasaanku ialah apabila isteri arwah berkata "saya dapat hidup dengan dia untuk 20 tahun je".... aku agak tersentuh dengan kata-kata Cik Yah tu. 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun, siapakah kita untuk mempersoalkannya. Adakah kita tahu berapa lama kita akan dapat hidup dengan orang yang kita sayang. Tidak.. itu semua rahsia Allah & janji Allah yang tiada siapa yang dapat menidakkan.


Aku juga pernah kehilangan orang yang paling disayangi. Arwah ayah meninggalkan aku sewaktu aku berumur 25 tahun. Aku hanya dapat menikmati kasih sayang seorang ayah untuk hanya 25 tahun. Aku hanya dapat berada dalam dakapan seorang bapa hanya untuk 25 tahun. Tetapi apakan daya... itu semua janji Allah.


Selain daripada itu, aku memandang terus ke hadapan. Kehidupan masa depanku. Bagaimanakah pula Allah mengatur kehidupanku nanti? Bagaimanakah pula dengan segala apa yang telah aku rancangkan? Apakah segalanya jua akan diakhri dengan kematian? Janji Allah itu pasti. Itu yang perlu aku sentiasa ingatkan kepada diriku.


Mungkin jodohku dengan suamiku akan diakhiri dengan kematian. Bukan mungkin, itu adalah pasti. Berapa lama tempoh masa yang Allah berikan kepada kami kesempatan untuk bersama? Bilakah nyawa kami yang dipinjamkan akan dikembalikan kepada penciptanya? Adakah aku yang akan ditinggalkan keseorang di dunia ini apabila nyawa orang sekelilingku ditarik? Atau adakah nyawaku yang akan ditarik dahulu lantas aku akan meninggalkan orang-orang tersayang disekelilingku? Hanya Allah yang ada jawapannya.


Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa bersedia. Kita perlu sentiasa redha. Kita perlu terima ketentuan yang telah ditetapkan olehNya.


Berikanlah aku kekuatan Ya Allah.... untuk menghadapi ujian & dugaanMu

Berikanlah aku kesempatan Ya Allah.... untuk menikmati kehidupan dimuka bumiMu

No comments:

Post a Comment