Tuesday, December 14, 2010

~ pesanan untuk diri sendiri ~


Sabarlah duhai hati
Tak perlu kau tagih cinta manusiawi yang bersifat sementara
Ada cinta yang lebih kekal abadi buat dirimu
Ada cinta yang bisa membuatkan kau mengalirkan airmata ketika hati merindui
Ada cinta yang mampu memberikan ketenangan pada jiwamu ketika kamu dilanda keresahan
Ada cinta yang boleh kau jadikan tempat merintih bila kesedihan datang menjenguk
Ada cinta yang mampu memberikan apa sahaja yang kamu inginkan

Namun, kadang-kadang cintamu itu pasti diuji
Sekuat manakah cintamu pada-Nya, sehebat manakah kasih kamu pada-Nya
Ujian datang dalam pelbagai cara
Hatta sekecil-kecil perkara untuk menilai kesetiaanmu pada-Nya
Andai kata kuat dan tetap hatimu pada-Nya, maka bergembiralah
Jika hatimu goyah dan meragui kasih sayang-Nya selepas didatangkan ujian pada dirimu, maka sedarlah bahawa nilai cintamu disisi-Nya masih lemah
Kembalilah pada cinta-Nya yang lebih agung dari kecintaanmu buat dunia dan isinya
Sudah menjadi sunnah-Nya, setiap yang bergelar mukmin pasti akan diuji
Dari ujian itulah, Dia mencari hamba-hamba-Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan dari-Nya

Apakah kau sanggup menghadapi segalaan ujian itu?
Namun, tidak ramai yang mahu mencari cinta yang kekal abadi ini kerana tidak mahu dilanda ujian-ujian ini
Tidak ramai yang mahu mengeluarkan keringat hatta darah sekalipun untuk merasai manisnya cinta yang bertunjangkan kekuatan aqidah terhadap yang Khalid ini

Maka sabarlah duhai hati
Apabila telah kau rasakan manisnya cinta dari sang Pencipta,
maka tak perlu lagi kau kejar cinta manusiawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata
Bila telah kau tetapkan hati untuk mencintai Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya kecintaan yang sejati
Dan dalam perjalanan menelusuri denai cintai terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri
akan didatangkan seorang yang turut sama mencintai-Nya sebagaimana dirimu juga
Sebagai peneman dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu
Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu

Maka sabarlah duhai hati
Tidak perlu kau gundah gulana andainya kau masih tidak berkasih dengan manusia
Dia akan datang. Itu sudah pasti
Namun datangnya tiada siapa yang tahu kecuali Dia sang Pencipta cinta itu
Moga datangnya cinta insani itu, akan menguatkan lagi kecintaanmu buat sang Pencipta cinta itu sendiri
Kerana jiwa yang sepi tanpa cinta dan kasih dari-Nya, adalah umpama padang pasir yang kegersangan

No comments:

Post a Comment